Assalamualaikum
Dari kiri, Freddie, Imuda, Zami Ismail, Khatijah Tan dan Hafsham.
SITKOM komedi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu pernah menjadi fenomena sekitar tahun 80-an sehingga melonjakkan watak-watak seperti Pak Uda, Mak Ngah, Ana, Lucy, Budin, Mat Deris, Mat Over dan Ravi. Watak itu begitu sinonim dengan sitkom tersebut dan masih diingati sehingga hari ini.
Sitkom yang mengangkat kisah hidup masyarakat Flat Seri Wangi itu lahir daripada idea pengarah Dr Hatta Azad Khan dan pernah di pentaskan di Istana Budaya sekitar tahun 2006.
Bagi mengembalikan nostalgia tersebut, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan menganjurkan pementasan komedi berjudul Pesta Lawak yang bakal dipentaskan pada 5 Jun depan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, pukul 8 malam.
Dengan judul Pi Mai Pi Mai Tang Tu Reunion, pelakon Imuda dilantik sebagai tulang belakang dalam mengarah pementasan tersebut.
Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Pi Mai Pi Mai Tang Tu Reunion sengaja dipilih bagi mengisi Pesta Lawak tersebut kerana sitkom berkenaan menjadi program yang mendapat rating tertinggi.
“Kita memilih sitkom ini kerana ingin mengembalikan semula nostalgia kegemilangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah melalui fenomenanya suatu masa dahulu.
“Seperti kita sedia maklum, sitkom ini merupakan sitkom popular yang mempunyai penonton dari semua lapisan masyarakat, umur dan bangsa.
“Ia juga bertujuan menghimpunkan pelakon-pelakon lama yang pasti membuatkan ramai penonton merindui lawak jenaka yang bersahaja daripada mereka,” katanya.
Menurut Freddie, Pesta Lawak ini juga akan diserikan dengan persembahan pelawak-pelawak baru dan lama. Program ini juga bakal tersenarai sempena sambutan Hari Seniman yang akan berlangsung bermula 29 Mei hingga akhir Jun depan.
Sementara itu, pelakon dan pengarah, Imuda berkata sitkom ini bakal mengubat kerinduan peminat-peminat setianya.
Malah banyak kelainan yang ditampilkan terutamanya dari segi kesesuaian watak dan isu semasa yang dibentangkan dalam masa lebih kurang dua jam.
“Memandangkan sudah lebih 11 tahun kami tidak bersama dalam sitkom ini, sudah tentu banyak perubahan berlaku terutamanya dari segi watak.
“Watak dan karakter masing-masing terpaksa mengikut keadaan sekarang yang sesuai dengan umur pelakon yang kebanyakannya sudah berusia,” kata Imuda.
Tambahnya, apa yang mampu menarik perhatian ialah jalan cerita yang bakal disampaikan seiring dengan perkembangan dan masalah sosial masyarakat kini.
“Mesej yang dibawakan kali ini ialah tentang isu kemasyarakatan dan Internet. Sekarang masih lagi dalam proses terakhir.“Selain itu, karakter sesebuah watak juga perlu dibuat bersesuaian dengan usia pelakon,” katanya.
Tidak sihat
Jelas Imuda, lebih istimewa setiap pelakon yang ditawarkan untuk memegang watak masing-masing setuju untuk berlakon biarpun berada dalam keadaan tidak sihat.
“Pelakon-pelakon kesemuanya teruja untuk menyertai pementasan ini. Zami Ismail dan Ahmad Busu yang tidak berapa sihat turut menyatakan hasrat mereka untuk turut sama menjayakan pementasan berkenaan.
“Malah kesemua pelakon yang lain tidak mahu melepaskan peluang ini kerana mereka terlalu sayang dan rindukan watak dan sitkom ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Imuda, Pi Mai Pi Mai Tang Tu Reunion ini bukan pementasan terakhir tetapi sebagai percubaan untuk pelawak-pelawak sepertinya kembali muncul di industri seni.
“Ramai yang ingat kami sudah tidak mahu berlakon lagi dan hilang bersama Pi Mai Pi Mai Tang Tu, tapi sebenarnya kami tidak diberi peluang.
“Jika pementasan ini berjaya, sudah semestinya ia akan diteruskan,” ujarnya. Pesta Lawak yang turut mendapat kerjasama Kumpulan Syarikat Seri Melayu ini bakal menampilkan barisan pelakon asal seperti Zami Ismail, Khatijah Tan, Sulaiman Yassin, Sathiya dan Angeline Tan.
Sementara itu, siri Pesta Lawak ini juga akan disusuli dengan pelbagai sitkom menarik yang tentunya mencuit hati.Bagi mereka yang berminat untuk menonton sitkom ini boleh membuat tempahan meja dengan tawaran bermula dari RM1,000 hingga RM5,000.
Sebahagian jualan amal ini akan disalurkan kepada Tabung Kebajikan dan Operasi Persatuan Karyawan Malaysia. Bagi mereka yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Karyawan di talian 03-79552967 atau 014-7176276 (Ahmad).
sumber: mStar
2 ulasan:
whoaa!!.. tak sabar nak tengok!!
@along usop
best layan sicon ni.. kelakar tgok gelagat org2 lama buat lawak..
Catat Ulasan