Assalamualaikum
Mariam Daher, 83 bercakap mengenai Nakba di in kem pelarian Jabalya di utara Semenanjung Gaza pada 12 Mei, 2011. - Foto BERNAMA
SEMENANJUNG GAZA: Ketika Israel menyambut dengan penuh gembira kejayaan menubuhkan negaranya di wilayah Palestin, kira-kira lima juta warga Palestin yang kehilangan tanah air, menyambut ulang tahun ke-63 Nakba dengan penuh duka dan kemarahan.
Golongan malang itu kini terpaksa tinggal di khemah sempit dan sesak jauh dari kampung halaman mereka akibat dipaksa meninggalkannya oleh Israel pada 1948.
Agensi Bantuan dan Pemulihan Bangsa Bersatu (UNRWA) berkata pelarian Palestin berkenaan kini tinggal di 58 khemah di wilayah Palestin, Syria, Lubnan dan Jordan.
Empat puluh empat peratus daripada pelarian itu tinggal dalam keadaan sesak di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, manakala 47.7 peratus daripada mereka dicengkam kemiskinan kerana tidak memunyai sumber pendapatan dan hanya bergantung pada bekalan makanan serta bantuan UNRWA serta pertubuhan kebajikan lain untuk meneruskan kehidupan.
Khemah pelarian Jabalya contohnya, antara khemah paling sesak dengan manusia yang terletak di kawasan persisiran pantai, dipenuhi rumah yang begitu uzur dan mempunyai laluan yang amat sempit.
Sebanyak 108,000 pelarian di khemah itu tinggal dalam keadaan sesak di kawasan seluas 1.4km persegi. Pada musim sejuk, bumbung kediaman mereka hancur ditimpa hujan, manakala pada musim panas, penduduknya terdedah kepada suhu yang panas membakar.
Mariam Daher, 83, terpaksa meninggalkan beratus-ratus ladangnya di kampung bernama Bureer apabila Israel menduduki kawasan itu pada 1948.
Setelah kehilangan tanah, wanita tua itu kini hanya melalui hari-harinya dengan berlegar-legar di kawasan perkhemahan.
Rakyat Palestin melawat satu pameran berhubung Nakba.
Mariam berusia 20 tahun ketika berlaku peristiwa Nakba dan hingga kini, dia masih mengingati dengan jelas kejadian dahsyat yang berlaku di hadapan matanya, termasuk pembunuhan bapanya, Hasan, dua saudara lelakinya, Mohammed dan Rajab serta bapa saudaranya dan jiran-jirannya apabila mereka enggan meninggalkan rumah masing-masing.
Walaupun ditawarkan pampasan yng menarik sebagai ganjaran jika dia melepaskan hak untuk kembali ke kampung halamannya, Mariam tidak gelap mata dan terus menyimpan anak kunci rumah yang diwarisi daripada ibunya. "Walaupun mereka membayar saya berjuta-juta dolar, saya tak akan jual tanah saya. Ia harta kepunyaan saya dan semua umat Islam," kata wanita itu.
Mariam sering menceritakan tentang kampung halamannya kepada anak-anaknya dan memesan kepada mereka supaya teruskan memperjuangkan hak mereka.
"Tidak ada harta yang dapat saya tinggalkan sebagai pusaka kepada anak-anak saya, kecuali rumah saya yang telah diduduki orang lain," katanya.
Kebanyakan pelarian mencipta dan menyimpan kad pengenalan "kepulangan" yang penuh simbolik ciptaan mereka, dengan menjadikan bendera Palestin dan peta negara asal mereka sebagai latar belakangnya serta menaip nama dan bandar asal masing-masing pada kad itu.
Zareef Al-Ghora, 26, sungguh gembira apabila mendapat kad baru untuk kepulangannya, yang sah hingga dia pulang ke kampungnya Al-Kwfaha, yang kini diduduki Israel.
Di belakang kad itu tertera tulisan Arab bermaksud: "Pemegang kad pengenalan ini berhak pulang ke bandar asalnya sejajar dengan undang-undang dan amalan antarabangsa".
"Ia sesuatu yang bersifat simbolik dan membuatkan saya berasa yakin. Kami perlu gunakan apa jua cara untuk membebaskan tanah nenek moyang kami dan membersihkan Palestin daripada Zionis," kata Zareef.
Aman Palestine Malaysia, pertubuhan yang menaja sambutan Nakba, akan mengadakan pameran di Universiti Islam Gaza mengenai sejarah pelarian Palestin akibat kekejaman Israel.
Rakyat Palestin melukis mural di bandar Gaza yang menceritakan kisah Nakba.
Pengarah Aman Palestine Malaysia di Semenanjung Gaza Omar Seyam memberitahu Bernama bahawa pameran itu akan menunjukkan betapa penubuhan negara Israel di tanah milik rakyat Palestin adalah tidak sah dan membawa kesengsaraan kepada rakyat Palestin.
Katanya pertubuhan kebajikan itu akan terus menyokong perjuangan Palestin dan menterjemahkan simpati Malaysia dalam bentuk pelaksanaan projek bantuan kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Zionis. - BERNAMA
sumber: mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan