Ahad, 8 Mei 2011

Riwayat Hidup Mike Tyson

Assalamualaikum


TYSON sebenarnya telah mengenali burung merpati lebih awal dari tinju serta disifatkannya sebagai detik paling aman ketika menghabiskan masa bersama lebih 2,000 merpati peliharaannya.

ASSALAMUALAIKUM, itulah ayat pertama yang keluar dari legenda tinju dunia, Mike Tyson ketika penulis memperkenalkan diri. Memang agak terkelu bila mendengar Tyson memberi salam apatah lagi melihatkan wajahnya yang agak bengis sementelah terukir unik bentuk tatoo, sesuatu yang dilarang bagi umat Islam.


Namun apabila akal kembali normal dan fikiran kembali fokus, penulis sedar bahawa bukan tugas kita untuk menilai dan menghukum beliau atas sesuatu yang bukan dilihat sebagai budaya dan kebiasaan dalam hidup kita.

Berterus terang

Begitulah sisi hidup Tyson yang sering saja dilabel sebagai pembengis, panas baran atau manusia paling ganas di dunia. Bagaimanapun bagi Tyson yang dilahirkan dengan nama Michael Gerard Tyson pada 30 Jun 1966, semua itu adalah sejarah silam yang seboleh mungkin mahu dibuang jauh-jauh dari tatapan hidupnya.

Sepanjang lebih sejam wawancara berlangsung yang turut disertai oleh 40 wartawan dari seluruh dunia di The Rise, 14th Floor, Ritz Carlton Battery Park, New York, Tyson seboleh mungkin cuba menjadi dirinya dan berterus terang tentang hakikat dirinya sekarang yang tidak diketahui umum.

Jika diperhatikan beliau juga seperti manusia lain adakalanya sebak ketika bercerita tentang kematian anaknya, Exodus pada 2009 dan adakalanya agak keterlaluan, mungkin kerana agak tertekan dengan soalan yang diutarakan oleh para wartawan.

Islam


Namun apa yang paling dihargai adalah kenyataannya bahawa penghijrahan beliau dengan menganut Islam telah banyak merubah dirinya.

Tyson yang mula menganut Islam setelah disumbat dalam penjara atas kesalahan merogol seorang peserta pertandingan ratu cantik Amerika Syarikat (AS), Desiree Washington pada awal 1990-an. Beliau yang menjadi juara Heavyweight termuda dunia pada tahun 1986 hingga 1990 hanya menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dari 10 tahun yang dikenakan atas balasan berkelakuan baik.

Setelah keluar, Tyson meneruskan karier tinju profesionalnya dan berjaya membawa pulang beberapa kejayaan besar sebelum bersara pada 2005. Walaupun telah menganut Islam tetapi Tyson memberitahu adalah sukar baginya untuk mempraktikkan sepenuhnya amalan agama itu kerana kerana gaya hidup dan persekitaran yang berbeza.

Mungkin juga kerana mendapat nasihat yang salah akhirnya beliau pernah di dakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah, disumbat kembali dalam penjara kerana pergaduhan akibat dari satu kemalangan jalan raya dan digantung lesen bertinju di AS kerana menggigit telinga pesaingnya, Evander Holyfield.

Kali terakhir Tyson memenangi perlawanan tinju secara profesional adalah dengan mengalahkan peninju Clifford Etienne hanya dalam 49 saat pada pusingan pertama yang diadakan di Memphis.

Bankrap

Selepas itu satu demi satu kekalahan berlaku sehinggalah beban hutang yang selama ini membelenggu dirinya semakin memuncak apabila diisytiharkan bankrap pada Ogos 2003. Sepanjang kariernya, Tyson telah memperoleh lebih AS$300 juta malah beberapa mendapat tawaran sehingga AS$30 juta (RM90 juta) hanya dalam satu perlawanan. Namun akibat dari kesilapan berkawan, boros berbelanja serta mendapat nasihat yang salah telah mengakibatkan wang sebanyak itu hilang hanya dalam tempoh sekelip mata.

Bagaimanapun pertarungan dengan peninju British, Clifford Etienne yang mana pada dua pusingan awal beliau menguasainya tetapi tumbang pada pusingan kedua secara tiba-tiba selepas mengalami kecederaan ligamen pada lututnya mengakibatkan beliau mula berfikir secara serius untuk bersara.

Pada Jun 2005, Tyson membuat keputusan untuk menarik diri sebelum bermula pusingan ketujuh dalam pertarungan dengan Kevin McBride, sekaligus memutuskan untuk bersara terus dari dunia tinju buat selama-lamanya atas alasan tidak lagi mempunyai hati dan keberanian untuk bertarung seperti sebelumnya.

Bagi beliau jika tidak kerana terpaksa membayar bil dan meneruskan kehidupan mungkin keputusan untuk bersara sudah lama dilakukan. Ujarnya adalah perlu semua ini dilakukan kerana jika beliau gagal keluar dari masalah kewangan ini kemungkinan besar Tyson akan menjadi "punching bag" untuk orang lain.

Umrah


"Wang yang saya dapat dari hasil tinju bukan sahaja membantu saya membayar bil dan hutang yang tertunggak tetapi ia juga membantu mengembalikan keyakinan diri serta mengelakkan dari berasa tertekan," kata Tyson.

Selepas mengambil keputusan bersara, Tyson mengakui bahawa apa yang berlaku sepanjang hidupnya adalah sesuatu yang sia-sia.

"Saya seorang yang gagal dalam hidup dan saya hanya mahu melarikan diri. Saya betul-betul malu dengan hidup dan diri saya. Masyarakat telah meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap saya dan saya mahu memusnahkan imej tersebut. Di negara ini (AS) tidak ada perkara yang baik yang datang dari saya dan saya mahu menamatkan bahagian hodoh diri saya secepat mungkin," kata Tyson yang kemudiannya mula mendekatkan diri dengan hobinya sejak sekian lama, membela burung merpati.

Sejak dari itu, Tyson mula memencilkan diri dari kehidupan glamour namun muncul sekali-sekala untuk membuat promosi tentang beberapa syarikat dan laman web yang memerlukan khidmatnya. Selain itu beliau juga membuat beberapa perlawanan pertunjukan bagi membantu melangsaikan hutangnya. Tyson juga mendedahkan bahawa kini hidupnya agak terhimpit kerana masalah kewangan dan menyara hidup bersandarkan dari pembayaran cek yang diterima hasil dari pekerjaan yang tidak menentu sebagai duta, berlakon iklan serta filem.

"Saya sebenarnya hidup dalam hutang serta bankrap. Namun saya bersyukur kerana kini gembira menjalani hidup serta mempunyai seorang isteri yang sangat memahami dan menyayangi diri ini. Ya, saya kini dikelilingi hutang tapi entah kenapa saya lebih gembira dan menikmati hidup.

"Kehilangan wang sepanjang karier tinju adalah sesuatu yang telah berlaku dan tidak perlu dikenang. Adakalanya saya berkata saya tidak layak mendapat isteri dan anak-anak yang telah memberi sinar baru dalam hidup tapi kemudian saya katakan saya perlu bersyukur dengan anugerah yang telah Tuhan berikan," kata Tyson berterus-terang.

Kemuncaknya beliau menunaikan Umrah pada Julai tahun lepas bersama rombongan dari Canadian Dawa Association. Selain menunaikan umrah beliau turut dibawa melawat bandar Mekah, Madinah serta beberapa bandar lain di Arab Saudi.

Merpati

Kini beliau dilihat semakin tenang hidup bersama isteri dan anak-anak walaupun dihimpit hutang. Lebih meyakinkan, Tyson lebih banyak menghabiskan masa dengan burung merpati belaannya.

Malah menurut Tyson kali pertama beliau bertumbuk dalam hidupnya adalah kerana seorang lelaki telah mematahkan tengku merpati belaannya secara sengaja. Ujarnya, hobi tersebut telah bermula sejak berumur sembilan tahun malah beliau lebih banyak menghabiskan masa bersama dengan burungnya dari hadir ke sekolah.

"Saya hanya datang ke sekolah pada waktu rehat semata-mata untuk makan dan kemudian hilang. Tetapi perkara pertama yang paling saya sayangi dalam hidup ini adalah burung merpati dan saya tidak mampu menjelaskan lebih lanjut

"Namun saya berbangga dengan burung saya dan bahagia jika mati pada usia tua tetapi memiliki burung merpati sebagai belaan," ujar Tyson.

Khusus untuk rakyat Malaysia, program Taking on Tyson yang menunjukkan sisi sebenar Tyson bersama merpatinya bakal disiarkan pada Selasa depan bersamaan 10 Mei. Program sebanyak enam episod ini akan mengkhusus kepada kegilaan Tyson terhadap merpatinya yang dikatakan terdapat lebih 2,000 ekor.

Dalam program ini juga Tyson buat pertama kalinya akan terlibat dalam perlumbaan burung merpati bersama sahabat baiknya Mario Costa serta pengurusnya Vinnie Torree. Semua ini bakal menemui anda pada 10 malam Selasa ini hanya di rangkaian Animal Planet.


sumber: gempak.org

5 ulasan:

semutsengal berkata...

huhuh, moga diberkati ;)

anna mardhiah berkata...

follow here...nice entry ..salam ziarah ...

Udin berkata...

@muhamad hanif

haha.. ;)

Udin berkata...

@aNNa maRdHiaH

welkem.. maceh yer singgah sini.. hehehe.. :)

kyo_9 berkata...

hmm.. bila la dia nk buang tattoo kt muka ek~ seram tgk.. ;)

~> JURI AWAM <~

Get this widget

~> GENRE <~

Berita (95) Artikel (87) Perasaan (87) Santai (46) Renungan (40) Segmen (38) Informasi (35) Lawak (32) Aku (25) Isu (17) Muzik (14) Blog (13) Hukum (13) Pendapat (13) Kisah (12) Maharaja Lawak (12) Maharaja Lawak Mega (12) Ramadhan (10) Tokusatsu (10) Bloglist (9) Lirik (9) Tip (9) Puasa (7) Sukan (6) Band (5) Filem (5) Laman Sesawang (5) Misteri (5) Raya (5) Tahun Baru (5) Aidilfitri (4) Anime (4) Facebook (4) Kerjaya (4) Review (4) Tokoh (4) Yahudi (4) Gusti (3) Hari Lahir (3) Iklan (3) Petua (3) Seram (3) Teka Teki (3) Doa (2) GA (2) Kempen (2) Kesihatan (2) Motivasi (2) Penyakit (2) Seni Bela Diri (2) Tag (2) Tarikh (2) Aidiladha (1) Contest (1) Drama (1) Illuminati (1) Maal Hijrah (1) Manga (1) Merdeka (1) Mukadimah (1) Nuzul Al-Quran (1) Perkenalan (1) Raja Lawak (1) Resepi (1)