Assalamualaikum
KUALA LUMPUR: Seniwati Datuk Sarimah Ahmad tidak menyangka dapat menyambut hari lahirnya ke 69 pada 28 April lalu ketika disahkan menghidap kanser otak, hidung dan lidah sejak setahun lalu.
Menurut Sarimah, dia berjuang untuk hidup selepas diberitahu hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja.
“Penderitaan tersebut bermula pada 2008 sehinggalah pada 20 April tahun lalu doktor mengesahkan saya menghidap kanser dan hanya mampu bertahan selama tiga bulan.
“Saya reda dan percaya dengan ketentuan Allah SWT dan dalam pada itu saya berusaha juga untuk berubat,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahunnya, di Restoran Warisan, di sini, Jumaat lalu.
Katanya, dia juga merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga kecuali anak bongsunya, Yusarima Puteri.
“Bukan niat saya untuk merahsiakan perkara ini tapi saya tidak mahu anak-anak saya turut berasa sedih dengan keadaan tersebut.
“Hanya anak kelima saya sahaja yang tahu tentang perkara ini kerana hanya dia yang ada berada bersama saya.
“Ketika itu juga saya banyak menolak permintaan fotografi media dan undangan ceramah kerana tidak mahu mereka lihat keadaan saya yang ketika itu hanya tinggal kulit dan tulang sahaja,” ujarnya.
Tambah Sarimah, dia tidak pernah mengalah melawan penyakit tersebut. Biarpun menolak untuk melakukan sebarang pembedahan pada tubuhnya, beliau memilih untuk mendekati Allah dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan memastikan amalan solat sunat digandakan.
“Saya tidak mahu melakukan sebarang pembedahan, saya mahu kembali kepada-Nya dalam keadaan tanpa cacat seperti mana saya dilahirkan.
“Saya memilih untuk melakukan rawatan alternatif dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran serta air Zam Zam sebagai penawar,” katanya.
Bagaimanapun, Sarimah mengakui mengambil makanan tambahan B17 diimport dari Maxico yang diperkenalkan oleh seorang doktor.
“Doktor tersebut yang mengesahkan saya mengidap kanser tersebut berada di tahap empat. Beliau juga menyarankan agar saya mengambil pil tambahan ini.
“Alhamdulillah ia bagaikan serasi dengan saya tapi berbalik kepada ketentuan Allah SWT, jika niat kita untuk berubat air kosong pun boleh jadi penawar,” katanya.
Ketika ditanya tahap kesihatannya kini, Sarimah memberitahu dia semakin pulih daripada penyakit tersebut.
“Saya tidak tahu ia pulih sepenuhnya atau tidak, jika Allah ingin mengambil nyawa saya bila-bila masa sahaja.
“Tapi Alhamdulillah derita yang saya alami sejak beberapa tahun lalu semakin kurang,” katanya.
sumber: mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan