Ahad, 20 Mac 2011

Adakah Dengkur Membawa Penyakit?

Assalamualaikum






Adakah anda menhadapi masalah suka berdengkur di waktu malam? teman sebilik atau pasangan anda tidak selesa dan marah dengan tabiat berdengkur anda? mengapa masalah berdengkur ini sering terjadi? adakah ini disebabkan keturunan? jawapannya adalah tidak.. hal ini tidak melibatkan genetik atau apa-apa.. masalah berdengkur ini terjadi disebabkan aktiviti harian dan cara hidup seseorang itu.. persoalannya adakah dengkur ini akan membawa penyakit? segala persoalan ini akan terjawab daripada artikel di bawah ini..


Adakah Dengkur Membawa Penyakit?

Bagaimana dengkur berlaku



APABILA membincangkan topik berdengkur, terlintas di fikiran ia adalah isu lelaki, tetapi tahukah anda ramai juga wanita ada masalah ini, cuma malu hendak mengakuinya. Kajian menunjukkan 60 peratus masalah berdengkur berlaku pada lelaki dan 40 peratus lagi membabitkan wanita.

Kebanyakan orang menganggap berdengkur adalah perkara biasa, namun ia sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan dan kesihatan seseorang. Kesan paling cepat dan jelas ialah kerap berasa letih dan mengantuk pada waktu siang.

Yang membimbangkan ialah, ia meningkatkan risiko untuk golongan yang ada masalah tidur berdengkur terbabit dalam kemalangan jalan raya akibat terlelap ketika memandu.

Bagaimana berdengkur boleh menyebabkan seseorang itu kurang tidur kerana pada anggapan umum, dengkuran menjadi tanda tidur yang nyenyak? Sebenarnya, dengkuran boleh membuatkan kita kerap terjaga daripada tidur dan biasanya kita mengambil sedikit masa untuk kembali lena. Apabila tidur kerap terganggu, kita berasa letih dan mengantuk keesokan harinya.

Secara purata, kita menghabiskan satu pertiga daripada hidup dengan tidur. Tidur bukan perkara sia-sia kerana ia adalah waktu untuk badan berehat, meningkatkan keupayaan mental, ingatan dan fungsi psikologi.

Malah, ketika tidur juga badan berpeluang menghasilkan sel baru dan memperbaiki tisu rosak. Sesetengah orang bertuah kerana mereka mudah terlena sebaik meletakkan kepala di bantal.

Tidur adalah fasa tidak sedar sementara. Bagi kebanyakan orang, waktu tidur yang cukup ialah antara tujuh hingga sembilan jam.

Bagaimanapun, tempoh tidur bukan perkara utama kerana ramai orang yang mendakwa cukup tidur masih mengantuk pada waktu siang dan segar pada waktu malam, penat, cepat marah, emosi berubah dan rasa tidak sihat.

Tanda di atas menunjukkan kita sebenarnya tidak cukup tidur. Lebih membimbangkan ialah, orang yang tidak cukup tidur lebih mudah terbabit dalam kemalangan sama ada di jalan raya atau tempat kerja.

Masalah ini juga boleh menjejaskan prestasi kerja dan dalam kes ekstrem, ia membawa kepada masalah rumah tangga dan perceraian kerana emosi tidak stabil.

Adakah dengkur masalah biasa? Ya, di kalangan orang dewasa, kira-kira 45 peratus sekali-sekala dan 25 peratus lagi berdengkur setiap hari, kata Penasihat Respiratori/Tidur Pusat Pakar Alpha, Dr Lau Wee Ming.

Walaupun masalah ini lebih kerap berlaku pada lelaki, biasanya isteri yang membawa suami berjumpa doktor kerana tidak tahan dengan dengkuran mereka.

Di Malaysia, dianggarkan lebih lima juta rakyat negara kita berdengkur. Kajian mendapati dalam populasi sesebuah negara, secara purata 45 peratus lelaki dan 30 peratus wanita berdengkur pada kadar biasa.

Kajian Synovate Omnibus pada Jun 2008 ke atas 1,006 penduduk Semenanjung Malaysia mendapati, empat daripada 10 orang berdengkur, 36 peratus mengakui dengkuran mereka mengganggu tidur pasangan dan 53 peratus lagi mendakwa tidur terganggu akibat dengkuran pasangan.

Walaupun lebih 50 peratus mengalami gangguan tidur akibat dengkur, sembilan daripada 10 tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah itu.

Soal selidik itu menunjukkan kebanyakan yang berdengkur adalah lelaki (57 peratus berbanding 43 peratus wanita), berkahwin (62 peratus berbanding 38 peratus bujang) dan untuk perbandingan bangsa, masalah ini dilaporkan lebih kerap pada orang Melayu (63 peratus) berbanding Cina (26 peratus) dan India (11 peratus).

“Dengkuran adalah bunyi yang terhasil apabila saluran pernafasan tersekat ketika tidur. Jika seseorang berdengkur, ia menandakan saluran pernafasannya terhalang seketika,” kata Dr Lau.

Ketika tidur, otot pada lelangit lembut (bahagian tisu lembut pada hujung lelangit yang kelihatan tergantung dan berhampiran dengan tekak, dipanggil uvula), lidah dan kerongkong akan berehat.

Jika tisu dalam kerongkong dalam keadaan terlalu rehat, ia akan bergetar. Getaran ini menghalang dan menyempitkan laluan udara. Apabila keadaan ini berlaku, tekanan dalam kerongkong menjadi tinggi.

Semakin tinggi tekanan, semakin kuat getaran tisu dalam kerongkong dan keadaan ini menyebabkan bunyi dengkur. Dengkuran menjadi lebih kuat jika tekanan dalam saluran pernafasan semakin tinggi.

Untuk mengatasi perkara ini, mulut secara automatik terbuka bagi membolehkan lebih banyak udara masuk dan masalah berdengkur lebih kerap berlaku pada orang gemuk kerana kehadiran banyak tisu lemak pada saluran pernafasan.

Menurutnya, punca dengkuran kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Dengkuran kanak-kanak biasanya disebabkan masalah tonsil atau adenoid (pengumpulan tisu limfatik pada bahagian belakang hidung). Rawatan untuk kanak-kanak berdengkur juga lebih mudah iaitu dengan membuang tonsil yang bengkak atau besar.

Pada kanak-kanak, dengkuran dianggap perkara normal, tetapi jika berlanjutan sehingga dewasa ia menjadi gangguan bukan saja pada individu berkenaan, tetapi kepada pasangan atau orang lain yang tidur berhampiran.

Beberapa faktor lain boleh menyebabkan seseorang berdengkur seperti:

  • Bentuk mulut iaitu sama ada lelangit lembut terlalu rendah, uvula panjang, lidah terlalu besar atau tonsil bersaiz besar — semuanya boleh menghalang saluran udara
  • Kegemukan juga menyebabkan saiz empat bahagian berkenaan bertambah dan mengakibatkan dengkuran bertambah teruk
  • Terlalu letih
  • Minum banyak minuman keras sebelum tidur
  • Masalah saluran pernafasan
  • Mengalami masalah apnea tidur. Seseorang itu dikatakan mengalami apnea tidur apabila pernafasannya terhenti seketika sewaktu dia tidur. Dengkuran kuat juga terhenti seketika (biasanya lebih kurang 10 saat). Oleh kerana pernafasan terhenti, berlaku kekurangan oksigen dan berlebihan karbon dioksida yang menyebabkan individu berkenaan terjaga dengan diikuti dengkuran kuat. Keadaan ini juga dipanggil apnea tidur obstruktif (OSA) dan biasanya dengkuran akibat OSA mempunyai rentak tertentu.
Kajian terbaru dilakukan penyelidik Universiti York di England mendapati, gangguan tidur boleh mempengaruhi proses pembelajaran seseorang dan menyebabkan mereka lebih sukar mengingat apa dipelajari.

Adakah berdengkur tanda penyakit?

Berdengkur bukan penyakit tetapi ia dikategorikan sebagai masalah perubatan, terutama bagi individu yang alami apnea tidur, kerana boleh mengundang kedatangan pelbagai penyakit seperti strok dan tekanan darah tinggi, kata Perunding Neurologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Ng Wai Keong.

Kurang pengetahuan mengenai kesan negatif berdengkur menyebabkan ramai tidak menganggapnya sebagai masalah. Gejala paling biasa dialami akibat tidur berdengkur ialah keletihan, mengantuk, daya tumpuan terjejas, cepat marah dan tertekan.

“Apa masalahnya jika mengalami OSA? Banyak. Apabila pernafasan terhenti, kita mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan. Kekurangan oksigen memberi tekanan kepada jantung untuk berfungsi dengan cekap.

“Lebih kerap nafas terhenti, tekanan darah menjadi lebih tinggi yang boleh mengakibatkan serangan jantung dan strok. OSA juga boleh mengakibatkan degupan jantung menjadi tidak normal.

“Ada kajian mendapati, berbanding orang lain, individu berdengkur kuat mempunyai risiko 34 peratus untuk mengalami serangan jantung dan strok (67 peratus).

“Ramai orang yang ada masalah OSA tertidur ketika memandu yang bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi nyawa orang lain. Malah, ia menyebabkan tidur pasangan atau orang yang hampir dengannya terganggu dan turut mengalami gejala seperti orang berdengkur tadi,” katanya.

Antara gejala apnea tidur ialah:

  • Rasa sangat mengantuk pada waktu siang
  • Dengkuran terganggu
  • Insiden tercekik di tengah malam (ketika tidur kerana tidak cukup oksigen dalam badan)
  • Tidur tidak lena
  • Nokturia (kerap kencing di tengah malam)
  • Tidak boleh menumpukan fikiran
  • Mengalami masalah daya ingatan
  • Kemurungan
  • Mudah terganggu
  • Keinginan seksual menurun
  • Apnea juga boleh mengganggu kualiti tidur dan hidup pasangan kerana mereka kerap terjaga akibat dengkuran kuat
Rawatan

Menurut Dr Lau, beberapa kaedah bukan pembedahan boleh digunakan mengatasi masalah dengkur seperti:

  • Mengubah gaya hidup dan mengurangkan berat badan khususnya bagi individu yang terlalu gemuk
  • Elak minum minuman beralkohol, mengandungi kafein (seperti kopi) dan merokok sebelum tidur
  • Mengubah posisi ketika tidur dikatakan dapat membantu mengurangkan masalah dengkur. Masalah ini lebih jelas jika tidur terlentang berbanding tidur mengiring
  • Jangan bersenam sebelum tidur kerana ia membuatkan seseorang berasa lebih segar dan sukar melelapkan mata
  • Elak keadaan yang boleh membuatkan anda terhutang tidur seperti menonton televisyen atau melayari Internet hingga jauh malam. Jika terhutang tidur, elok digantikan segera; sebaik-baiknya pada keesokan harinya
  • Titik beratkan kebersihan persekitaran tempat tidur dan pastikan bilik tidur anda dalam keadaan menenangkan
  • Gunakan pelekap khas pada hidung yang membantu membuka saluran pernafasan menjadi lebih besar
  • Gunakan semburan hidung
  • Jangan ambil pil tidur walaupun anda ada masalah sukar melelapkan mata. Pil tidur membuatkan otot anak tekak menjadi lebih rehat dan akibatnya, dengkuran bertambah kuat
Perunding Pembedahan Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Sunway, Dr Gan Tong Nee berkata, kaedah pembedahan boleh dilakukan bagi kes OSA yang teruk. Bagaimanapun, ia bergantung kepada anatomi saluran pernafasan seseorang dan tahap keterukan masalah.

“Mengapa perlukan pembedahan? Orang kini mahukan penyelesaian cepat dan ramai menghadapi masalah mengurangkan berat badan. Malah ramai mengadu tidak selesa menggunakan peralatan bagi membantu pernafasan ketika tidur,” katanya.

Jenis pembedahan tertakluk kepada keadaan seseorang, tetapi secara umumnya ia dibahagi kepada dua iaitu:

  • Pembedahan konvensional yang dipanggil uvulopalatopharyngoplasty (UPPP) untuk membuang sedikit tisu uvula bagi meluaskan saluran pernafasan. Kaedah ini biasanya dilakukan untuk individu yang ada tonsil besar dan ia kurang popular kerana sangat menyakitkan. Selepas pembedahan, pesakit perlu mengambil makanan lembut
  • Pembedahan laser (LAUP) bagi membuang tisu uvula untuk mengurangkan getaran tisu dalam kerongkong ketika tidur
“Ia bukan pembedahan besar tetapi individu OSA perlu mengambil cuti rehat kerana sesetengah pembedahan menyakitkan.

“Kini ada kaedah lain boleh digunakan untuk membantu mengatasi masalah berdengkur iaitu implan Pillar yang ditanam pada lelangit lembut.

“Penanaman implan ini bertujuan mengeraskan sedikit lelangit lembut supaya tidak mudah ‘jatuh’ dan menghalang aliran udara ketika tidur,” katanya.

Melalui kaedah ini, doktor menyuntik tiga implan bersaiz 18 milimeter dengan garis pusat dua milimeter ke lelangit lembut selepas diberi bius setempat.

Kaedah ini hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit dan pesakit sedar ketika implan disuntik. Ini satu-satunya kaedah pembedahan minimali invasif (yang mudah dan cepat tanpa membabitkan luka pembedahan).

“Selepas pembedahan, pesakit boleh kembali bekerja atau menyambung aktiviti hariannya. Mereka boleh makan seperti biasa kerana ia tidak membabitkan pembuangan tisu dalam mulut.

“Kesan atau keberkesanan teknik ini berbeza antara individu dan bergantung kepada tahap dengkuran setiap orang. Biasanya dengkuran berkurangan secara perlahan-lahan dan kesan terbaik boleh dilihat selepas tiga bulan iaitu apabila implan ‘bersatu’ dan membuatkan lelangit lembut menjadi keras,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua orang sesuai mendapatkan rawatan ini. Ia hanya dilakukan ke atas individu berumur 18 tahun ke atas, tidak obes (Indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 32), ukuran lelangit lembut melebihi 25 milimeter, tiada masalah saluran hidung tersumbat dan tiada sejarah pembedahan farinks.



LETIH.. .. .. berdengkur menyebabkan tidak cukup tidur.


sumber: myMetro

6 ulasan:

Bunga berkata...

lau penat giler mmg leh berdengur..lau biasa2 xkot..haha..

Udin berkata...

@bunga

yup.. betoi tu.. kalau badan cukup rehat.. takda masalah.. hehe..

♥ Che NamNam ♥ berkata...

kalau abah sy tido dengkur mak akan ckp "abah tuh penat sgt lah tue"

mungkin betul jugak ckp mak sebab abah tido tak berdengkur..sekali sekala jerk itu pon kalau diyer kerja dari pagi sampai malam...:)

Udin berkata...

@♥ Che NamNam ♥

ye.. kalau bila seseorang tu terlampau penat.. tak dinafikan akan berdengkur semasa tidur.. tapi takpe.. perkara normal.. hehe.. =)

HELENAKETTY berkata...

tapi kalo urng ni xpnt plk mcm mana 2?....tdr ckp pg mlm pn tdr tp kerap trjaga dr tdur...kadng2 mmerlukn msa 1 jam bru dpat tdur kmbli....tp bkan kah ada tanda mnghdapi pnykit spt paru2 kah kalau berdengkur?

Farha berkata...

Hehehe.. kesian sebenarnya pada yang berdengkur. Dah lah badan tak dapat tidur lena. Penat tau dan haus sangat tekak kalau berdengkur. Kita yang mendengar pon rasa penat. Haha. Tapi sama-samalah kita tolong kawan-kawan kita yang dengkur ni. Kalau boleh biarkan diorg tidur mengiring.

~> JURI AWAM <~

Get this widget

~> GENRE <~

Berita (95) Artikel (87) Perasaan (87) Santai (46) Renungan (40) Segmen (38) Informasi (35) Lawak (32) Aku (25) Isu (17) Muzik (14) Blog (13) Hukum (13) Pendapat (13) Kisah (12) Maharaja Lawak (12) Maharaja Lawak Mega (12) Ramadhan (10) Tokusatsu (10) Bloglist (9) Lirik (9) Tip (9) Puasa (7) Sukan (6) Band (5) Filem (5) Laman Sesawang (5) Misteri (5) Raya (5) Tahun Baru (5) Aidilfitri (4) Anime (4) Facebook (4) Kerjaya (4) Review (4) Tokoh (4) Yahudi (4) Gusti (3) Hari Lahir (3) Iklan (3) Petua (3) Seram (3) Teka Teki (3) Doa (2) GA (2) Kempen (2) Kesihatan (2) Motivasi (2) Penyakit (2) Seni Bela Diri (2) Tag (2) Tarikh (2) Aidiladha (1) Contest (1) Drama (1) Illuminati (1) Maal Hijrah (1) Manga (1) Merdeka (1) Mukadimah (1) Nuzul Al-Quran (1) Perkenalan (1) Raja Lawak (1) Resepi (1)